KUALA LUMPUR 22 OKT- Pergerakan Pemuda Umno mahu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda bagi membolehkan golongan penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) aktif dan serius membabitkan diri dalam politik.
Menurut Bernama yang menemubual beberapa exco pergerakan itu dilaporkan berkata golongan muda dan terpelajar di IPT sewajarnya diberi ruang yang cukup untuk berpolitik kerana merekalah generasi pelapis landskap kepimpinan negara.
Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan pergerakan itu, Datuk Sohaimi Shahadan berkata kecenderungan golongan para penuntut di pusat pengajian tinggi memilih media altenatif yang pro-pembangkang menyebabkan mereka memilih parti pembangkang selepas tamat pengajian mereka.
Beliau berkata dengan adanya kelonggaran terhadap akta berkenaan, pergerakan Pemuda dilihat akan berpeluang mendekati golongan itu secara lebih efisien.
"Inilah cabaran besar kita, inilah perkara yang perlu difikirkan untuk Model Baru Politik seperti yang ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kita mahu Kementerian Pengajian Tinggi meminda akta itu," katanya ketika ditemui pada Persidangan Agung Umno 2010, di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.
Ketika ditanya sama ada kelonggaran akta itu akan turut membolehkan pihak pembangkang mendekati golongan berkenaan, beliau berkata:
"Sekarang ini pun mereka telah mendekati golongan itu menerusi media alternatif (yang pro-pembangkang) yang dilihat menjadi pilihan golongan muda, dan saya percaya dengan kelonggaran itu ia membuka ruang lebih luas untuk Pemuda Umno mendekati mereka," katanya.
Exco Pemuda, Mohd Suffian Awang berkata akta berkenaan perlu dikaji semula selaras dengan perubahan landskap politik negara.
Seorang lagi Exco Pemuda, Datuk Mohd Khairun Aseh berkata sekatan terhadap golongan penuntut di IPT untuk aktif berpolitik hanya akan mengundang pemberontakan.
Beliau berkata adalah malang apabila golongan ini tidak dibenarkan berpolitik, mereka akhirnya memberontak secara tidak sihat dan akhirnya memilih pihak pembangkang selepas tamat pengajian mereka.
Seorang lagi Exco Pemuda, Datuk Mohd Khairun Aseh berkata sekatan terhadap golongan penuntut di IPT untuk aktif berpolitik hanya akan mengundang pemberontakan.
Beliau berkata adalah malang apabila golongan ini tidak dibenarkan berpolitik, mereka akhirnya memberontak secara tidak sihat dan akhirnya memilih pihak pembangkang selepas tamat pengajian mereka.
"Itulah yang sedang berlaku, dan perkara inilah yang perlu dinilai semula," katanya.
Sumber : Tv Selangor
0 comments