KUALA LUMPUR 5 Jun - Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh semalam memutuskan tidak sah dan menolak permohonan bekas pelajar Universiti Sains Malaysia, Soh Sook Hwa bagi semakan kehakiman berhubung dakwaan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974.

Keputusan tersebut dimaklumkan oleh peguam yang mewakili Sook Hwa, M Lavendran selepas perbicaraan dalam kamar di Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas pada pukul 3.30 petang semalam.

Dalam perbicaraan itu Kementerian Pengajian Tinggi diwakili oleh barisan peguam Nizam Zakaria, Shamsul Bolhassan dan Maisarah Johari.

"Keputusan ini tidak membenarkan semakan kehakiman ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti oleh pemohon kerana beliau disabitkan dan dijatuhi hukuman sebelum pindaan ke atas akta tersebut dilakukan. Oleh itu, pemohon dikehendaki membayar kos mahkamah yang berjumlah RM3,000," kata Lavendran kepada media.

Sook Hwa mencabar AUKU kerana beliau mendakwa akta tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan terhadap AUKU diwartakan selepas tahun 2008. Sook Hwa didakwa oleh USM kerana melanggar Seksyen 15 akta tersebut dan dituduh melibatkan diri dalam kempen politik parti pembangkang dalam pilihan raya 2004.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut selepas pihak pentadbiran USM menemui gambar beliau di dalam sebuah akhbar Mandarin yang memperlihatkan imej beliau sedang berkempen menyokong calon KEADILAN bagi parlimen Batu, Chang Tian Chua pada pilihan raya umum ke-11.

Sook Hwa merupakan pengundi berdaftar di kawasan tersebut.Ketika ditemui Suara Keadilan, beliau menjelaskan penglibatan pelajar di dalam kempen PRU bukanlah perkara yang asing.

Menurutnya mana-mana parti yang bertanding kebiasaannya akan mendapatkan bantuan dan khidmat, sama ada daripada golongan yang telah bekerja mahupun yang masih dalam pengajian.

"Akta tersebut seolah-olah meletakkan golongan mahasiswa sebagai kelompok manusia yang belum matang. Adakah mahasiswa hanya boleh aktif dalam gerakan sosial dan politik apabila keluar dari universiti sahaja?

"Selepas enam tahun memperjuangkan hak saya sebagai mahasiswa dan rakyat Malaysia, keputusan hari ini memang mengecewakan. Mahasiswa sebenarnya masih diikat dengan AUKU dan belum bebas," kata Sook Hwa.

Beliau kini sedang membincangkan tindakan lanjut yang bakal diambil dengan peguam.Turut hadir bagi mendengar keputusan tersebut termasuk kira-kira 10 orang aktivis mahasiswa dari DEMA (Malaysia Youth and Students Democratic Movement) dan SMM (Solidariti Mahasiswa Malaysia).

Posted by SMM 17 September 2010

0 comments

Post a Comment

Subscribe here

'Kepada Cendekia Solidar' - Sajak A Samad Said Khas Buat SMM

Mahasiswa Bangkit !!!

Lagu Perjuangan

Perjuangan Mahasiswa

Program Mahasiswa

Program Mahasiswa

Twitter SMM

Suara Anda



Kolumnis

Followers