KENYATAAN MEDIA
SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM)

PAS PERLU TEGAS DALAM ISU INSANIAH.

KUIN PERLU MINTA MAAF.

Setelah hampir dua minggu rayuan dikemukakan, 5 orang mahasiswa KUIN yang dikenakan tatatertib belum mendapat apa-apa maklum balas daripada pihak pentadbiran KUIN. Hal ini adalah amat tidak beretika kerana pihak Pentadbiran hanya mengambil masa satu hari untuk menjatuhkan hukuman tetapi telah mengambil masa yang lama untuk meneliti rayuan. Perkara ini seolah-olah memperlihatkan sifat acuh tak acuh pentadbiran KUIN terhadap tuntutan mahasiswa yang mahu hukuman digugurkan.

Mahasiswa sudah cukup bertoleransi dengan prosedur yang ditetapkan oleh pihak KUIN. Malah setelah memorandum dihantar ke Pejabat Agung PAS pada 13 mei lalu, Pemuda PAS sendiri memohon masa  agar mahasiswa memberi peluang untuk pihak PAS  menyelesaikan konflik yang berlaku di KUIN.  Namun setelah 2 minggu, isu penindasan terhadap 5 aktivis mahasiswa KUIN masih belum selesai. Suka untuk saya tegaskan kembali premis mahasiswa dalam isu KUIN ini. Hukuman yang dikenakan ke atas 5 orang mahasiswa KUIN adalah amat tidak rasional dan bertentangan dengan konsep kebebasan bersuara yang dimiliki setiap rakyat Malaysia. Hukuman tersebut juga persis seperti AUKU yang selama ini ditentang hebat oleh banyak pihak termasuk Pakatan Rakyat. Malah Pakatan Rakyat sendiri berjanji bahawa AUKU adalah antara akta yang akan dimansuhkan segera sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pemerintahan Malaysia. Oleh itu, penyelesaian yang mahasiswa harapkan bukan sekadar hukuman diringankan tetapi yang lebih penting ialah segala pertuduhan perlu ditarik balik dan pihak KUIN perlu meminta maaf kepada Mahasiswa kerana melakukan tindakan tanpa pertimbangan yang rasional.

Dalam jawapan Menteri Besar Kedah yang disiarkan oleh Malaysiakini, Dato Seri Ust Azizan seakan-akan tidak memahami prinsip Pakatan Rakyat terhadap AUKU.  Adalah tidak wajar Dato Seri Menteri Besar Kedah meminta mahasiswa akur kepada prosedur yang selama ini ditentang oleh banyak pihak yang memperjuangkan kebebasan. Lebih mengecewakan apabila  5 mahasiswa yang dihukum terpaksa  melakukan rayuan di atas hukuman yang sama sekali membelakangkan prinsip keadilan dan kebebasan. Menteri Besar Kedah seharusnya sedar bahawa beliau memegang mandat Parti untuk mentadbir Kerajaan Negeri berdasarkan prinsip yang telah digariskan oleh parti. Oleh itu tindakan membiarkan AUKU terus menzalimi aktivis mahasiswa adalah tidak seharusnya berlaku di KUIN memandangkan institusi itu dipegang sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kedah.  Selain itu, kenyataan Dato Seri Ust Azizan yang mengasingkan Presiden PAS dalam isu KUIN juga tidak sepatutnya dilafazkan oleh seorang pemimpin yang bernaung di bawah PAS. Bagi mahasiswa adalah tidak salah untuk Presiden sesebuah Parti menasihatkan para pemimpinnya untuk bertegas terhadap prinsip Parti. AUKU bukan perkara kecil yang boleh dipandang remeh oleh KUIN dan Kerajaan Negeri Kedah bahkan penentangan terhadap AUKU adalah berdasarkan prinsip PAS dan Pakatan Rakyat yang mendokong idealisme hak dan keadilan.
 
Mahasiswa juga beranggapan bahawa konflik yang berlaku adalah disebabkan kegagalan Pemimpin Tertinggi PAS dalam memberi konsultasi jelas mengenai AUKU terhadap Kerajaan Negeri yang diperintah oleh pemimpin PAS. PAS sepatutnya seawal mungkin perlu memperjelaskan prinsip parti mengenai AUKU kepada Kerajaan Negeri di bawah PAS yang memiliki IPTS agar krisis seperti di KUIN tidak berlaku. Oleh itu, PAS perlu bertanggungjawab dalam menjernihkan semula prinsip yang telah tercemar ekoran penindasan terhadap aktivis mahasiswa KUIN. Mahasiswa boleh menerima konflik KUIN ini sebagai satu kesilapan yang tidak sengajakan, namun mahasiswa tidak boleh menerima sekiranya kesilapan ini cuba disenyapkan dan ditutup tanpa penyelesaian yang transparen. Mahasiswa merasakan PAS perlu mempamerkan ketegasan dalam isu KUIN ini bagi mengelakkan pesimis masyarakat khususnya golongan muda terhadap kekuatan prinsip dan pendirian PAS.

Untuk Isu KUIN ini, SMM telah menghantar tiga memorandum iaitu dua kepada Pakatan Rakyat dan satu kepada Suhakam.  Ketiga-tiga memorandum itu menekankan fokus yang sama iaitu menuntut Rektor Insaniah mengugurkan hukuman ke atas 5 mahasiswa dan mendesak Pihak PAS memberi konsultasi kepada Kerajaan Negeri Kedah mengenai prinsip parti terhadap AUKU. Mahasiswa juga pernah menyatakan untuk membawa isu KUIN ke dalam Muktamar PAS Pusat yang telah berlansung pada 4 dan 5 jun, namun setelah berhubung dengan pihak Pemuda PAS, pihak Pemuda  memohon agar Mahasiswa tidak mengganggu perjalanan Muktamar dan memberi tempoh untuk Menteri Besar Kedah membetulkan keadaan. Walaupun begitu, mahasiswa tetap turun pada 5 jun untuk mengedar risalah penerangan mengenai isu yang berlaku.  

SMM merasakan sudah cukup tempoh masa yang diberikan kepada pihak KUIN dan Kerajaan Negeri Kedah untuk menyelesaikan konflik yang berlaku. Gerakan Mahasiswa diperingkat nasional akan terus memberi tekanan kepada KUIN dan Kerajaan Negeri Kedah agar segera memperbetulkan segala kekalutan yang berlaku. Oleh itu, Mahasiswa sekali akan ke Pejabat Agung PAS pada esok hari iaitu 10 jun 2011 bagi menyerahkan memorandum menuntut tindakan tegas PAS terhadap mana-mana pemimpin parti yang melakukan kesalahan membelakangkan prinsip parti.  Dalam memorandum tersebut juga mahasiswa memberi tempoh sehingga hari Isnin (13 Jun) untuk pihak KUIN menyelesaikan konflik yang berlaku dan memohon maaf kepada mahasiswa yang dizalimi. Jika isu ini tidak diselesaikan segera, mahasiswa nekad untuk melancarkan desakan yang lebih besar di peringkat nasional.

SMM mengharapkan agar kejadian yang menimpa sahabat KUIN dapat diselesaikan segera oleh pihak Pentadbiran KUIN. Sesungguhnya Gerakan Mahasiswa tidak akan berdiam apabila melihat hak dan kebebasan bersuara yang menjadi milik mutlak setiap rakyat dicabar dan dihalang. Gerakan Mahasiswa boleh membuat tindakan drastik dalam menentang perkara ini seperti mana yang pernah dilakukan terhadap pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini. Kami pernah berdemonstrasi di Putrajaya, kami pernah berbaring di atas jalanraya, kami juga pernah duduk di dalam lokap, dan kami pernah menuntut agar Menteri Pengajian Tinggi meletak jawatan. Semua ini kami lakukan hanya kerana ingin menuntut hak dan kebebasan yang dirampas oleh undang-undang yang zalim. Persoalannya, apakah perlu kami lakukan perkara yang sama terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat?.    


Sekian.

Ahmad Syukri Ab Razab
Pengerusi
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

Posted by SMM 10 June 2011

0 comments

Post a Comment

Subscribe here

'Kepada Cendekia Solidar' - Sajak A Samad Said Khas Buat SMM

Mahasiswa Bangkit !!!

Lagu Perjuangan

Perjuangan Mahasiswa

Program Mahasiswa

Program Mahasiswa

Twitter SMM

Suara Anda



Kolumnis

Followers