Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Wadah Pencerdasan Ummat (WADAH) telah berjaya menghantar memorandum Pernyataan Keprihatinan Terhadap Orientasi Pendidikan Negara dalam isu Pemansuhan UPSR-PMR kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang juga merangkap Menteri Pelajaran Malaysia di pejabat beliau di Putrajaya baru-baru ini.
Dalam pertemuan yang memakan masa hampir satu jam ini, PKPIM diwakili oleh Naib Presiden Antarabangsa, Sdra Ahmad Fahmi Mohd Samsudin manakala ABIM diwakili oleh Sdra Muhammad Razak Idris, Presiden ABIM dan Dato’ Dr. Siddiq Fadzil sebagai Presiden WADAH yang mengetuai deligasi pertemuan khas ini. Perbincangan ini turut membincangkan pelbagai aspek dan isu-isu berbangkit melibatkan pelbagai perkara yang menyentuh aspek pendidikan Negara ketika ini.
Pernyataan keprihatian terhadap orientasi pendidikan Negara dalam isu penting ini adalah berdasarkan kepada hasil perbincangan dan diskusi yang dipersetujui yang diterjemahkan kepada resolusi yang dicapai dalam Persidangan Meja Bulat Pemansuhan UPSR-PMR yang telah diadakan sebelum ini di Kolej Dar-Al-Hikmah, Kajang. Dalam hal ini, pihak PKPIM berpendapat bahawa UPSR perlu diteruskan dengan beberapa penambahbaikan dalam sistem pentaksiran dan penilaian sementara peperiksaan PMR perlu dimansuhkan.
Pengekalan UPSR ini adalah atas rasional kepentingan fungsinya sebagai penilaian penamat bagi persekolahan peringkat rendah manakala pemansuhan PMR pula didasarkan kepada rasional bahawa penilaian persekolahan pada tahap menengah sudah memadai dengan peperiksaan SPM. Justeru, peperiksaan UPSR juga tidak seharusnya digunakan sebagai sorting machine untuk pemilihan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sistem pemilihan ke SBP perlulah menggunapakai mekanisme alternatif dengan mengambilkira penilaian-penilaian lain selain prestasi akademik. Disamping itu, dengan pemansuhan PMR, maka perlu diwujudkan mekanisme alternatif untuk tujuan penjurusan dengan penekanan kepada potensi dan keupayaan.
PKPIM juga melihat bahawa cadangan permansuhan peperiksaan awam tentunya tidak hanya sekadar memansuh semata-mata untuk memansuh, tetapi juga dilatari kesedaran tentang wujudnya masalah, bukan hanya masalah-masalah berbangkit dari peperiksaan dan isu-isu yang terkait dengannya, tetapi juga melihat kepada masalah yang lebih fundamental dan mendasar. Secara umumnya, sistem pendidikan di Malaysia berorientasi peperiksaan dan seterusnya hampir memutlakan prestasi dalam peperiksaan sebagai satu-satunya ukuran kualiti dan penentu masa depan seseorang pelajar.
Sumber : PKPIM
0 comments