YDP PMIUM |
Bebarapa dekad mutakhir ini, mahasiswa di Malaysia diperlakukan seperti penjenayah yang dikuarantin di dalam kampus dan tidak dibenarkan untuk menghirup udara segar demokrasi dalam negara, sebagaimana anak muda yang seusia luar kampus. AUKU menjadi hantu kepada mahasiswa dan dijadikan bahan ugutan oleh pihak kerajaan untuk menakutkan mahasiswa sejak kebelakangan ini. Namun, adakah mahasiswa seluruhnya memahami AUKU secara mendalam?
Penulis sekadar berkongsi idea dan pengalaman dalam berbincang soal AUKU dengan pelbagai pihak. Dalam AUKU, perkara yang menjadi subjek perbincangan ialah seksyen 15 (a) yang tidak membenarkan mahasiswa menyatakan sokongan, simpati ataupun bangkangan terhadap mana-mana parti politik dan terlibat aktif dalam politik kepartian. Akta ini cukup jelas menyekat mahasiswa untuk terlibat dengan PARTI POLITIK dalam Negara, bukannya sistem politik Negara.
Saya rasa di sini timbul keraguan di antara pelaksana undang-undang yang mentafsirkan seksyen tersebut mengikut selera masing-masing. Akta ini juga yang menjadi point utama dalam perbicaraan saman pemula 4 orang mahasiswa UKM di mahkamah baru-baru ini.
Akta tersebut tidak menyatakan bahawa mahasiswa TIDAK BOLEH TERLIBAT DALAM PILIHANRAYA samada umum ataupun kecil. Mahasiswa hanya dilarang untuk berkempen dan menyatakan sokongan kepada parti yang bertanding, itu sedia maklum. Namun, persoalan saya, jika ada beberapa orang calon bebas yang bertanding dalam PRK nanti, maka adakah mahasiswa boleh terlibat dalam pilihanraya tersebut sedangkan calon bebas ini bertanding atas kapasiti individu, bukannya PARTI?
Maka tidak ada tindakan yang boleh dikenakan ke atas mahasiswa yang turun berkempen untuk calon bebas tersebut kerana mereka tidak boleh dikaitkan dengan PARTI POLITIK yang sah. Di sinilah lompang dan tidak relevannya AUKU yang hanya memandang parti politik itu subjek, sedangkan objek pilihanraya masih luas dalam sistem demokrasi yang diamalkan.
Maka saya boleh nyatakan bahawa mahasiswa boleh sama sekali terlibat dalam pilihanraya dan berkempen jika ada calon bebas yang bertanding dalam PRK nanti. Selain itu, jika hanya calon dari parti politik sahaja yang terlibat, maka tidak salah juga bagi mahasiswa untuk ke sana sekadar mengikuti dengan lebih dekat amalan pilihanraya di Malaysia.
Kesimpulannya, mahasiswa mempunyai hak dan kebebasan untuk bersuara sebagaimana yang dijamin oleh artikel 10 perlembagaan Negara yang kita junjung bersama.
Menakutkan mahasiswa dengan AUKU adalah suatu pendekatan yang lapuk lagi bacul dan pihak kerajaan perlu berfikir secara liberal dan rasianal dalam mengambil sesuatu pendekatan. Liberalisasi dan transformasi ekonomi sahaja tidak cukup untuk memungkinkan Malaysia bakal muncul sebagai Negara Maju tanpa diselarikan dengan kebebasan sosial khususnya kebebasan akademik dan hak bersuara rakyat termasuklah mahasiswa.
Saya harap menteri tak perlu takut jika mahasiswa turun ke medan demokrasi kerana kita sepatutnya menyahut kebebasan bersuara sebagaimana yang dibenarkan oleh civil society dan hak yang dijamin dalam perlembagaan.
Sumber : Blog YDP PMIUM
0 comments