KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
21 November 2010 / 13 Zulhijah 1431
Ahli Gabungan: Tawaran BN kepada NGO tidak wajar

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada pengumuman Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan bahawa selain parti politik, dewan tertinggi BN juga meluluskan untuk menerima mana-mana NGO, pertubuhan atau persatuan untuk menjadi ahli gabungan dalam parti itu.

PKPIM berpandangan bahawa tawaran untuk NGO bergabung dengan parti politik adalah bertentangan dengan norma masyarakat demokratik memandangkan dalam sistem masyarakat demokratik, selain kewujudan organ politik dan peniaga, peranan organ masyarakat sivil atau perjuangan menerusi pentas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) “tulen” adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan sebagai medan penerus pembangunan masyarakat.

Bagi PKPIM, tujuan utama ditubuhkan NGO adalah sebagai wadah yang membawa suara marhein untuk “semak dan imbang” terhadap setiap satu dasar yang digubal pihak pemerintah bagi memastikan ia benar-benar memenuhi kepentingan masyarakat umum. 

Sebagai analogi, saya mentafsirkan NGO sebagai pusat roda yang dikelilingi parti politik. Walau siapa yang berada di atas atau siapa yang berada di bawah, NGO tetap utuh sebagai pusat di tengah-tengah yang bertanggungjawab memastikan roda secara keseluruhannya bergerak dengan lancar.

Lantaran itu, pendekatan “non-partisan” dan “independent political force” harus dijadikan sebagai prinsip yang fundamental dalam menggerakkan agenda perjuangan “civil society” ini. Sebagai aktivis dan pimpinan NGO, kita seharusnya bebas dari keterikatan mana-mana parti politik dan ketaksuban politikus yang akhirnya akan mencengkam idealisme perjuangan NGO itu sendiri.

Suara PKPIM seperti contoh adakalanya senada dengan parti pemerintah dan adakalanya bersama parti pembangkang dalam sesuatu isu berlandaskan kepentingan mendalam demi melanjutkan prioriti kepentingan masyarakat umum.

Dalam pada itu, memetik kata-kata Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lebih besar berbanding kerajaan dalam membantu mensejahterakan kehidupan masyarakat dunia. Menurut beliau, golongan NGO yang akan berfikir sekali gus mencipta atau mewujudkan resolusi bagaimana wang kerajaan perlu dibelanjakan dalam usaha mensejahterakan masyarakat tanpa mengira bangsa, pangkat, keturunan dan agama.

Namun, PKPIM menyambut baik sebarang usaha pihak Barisan Nasional untuk meraikan kepentingan NGO sebagai rakan pembangunan negara atau “smart partnership building” dengan senantiasa mendengar pandangan dan kritikan NGO, serta menghormati prinsip dan pendirian sesebuah NGO dalam sesuatu isu.

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
 
Sumber :  PKPIM

Posted by SMM 22 November 2010

0 comments

Post a Comment

Subscribe here

'Kepada Cendekia Solidar' - Sajak A Samad Said Khas Buat SMM

Mahasiswa Bangkit !!!

Lagu Perjuangan

Perjuangan Mahasiswa

Program Mahasiswa

Program Mahasiswa

Twitter SMM

Suara Anda



Kolumnis

Followers