Kita wajar ikhlas murnikan sumber kuasa bangsa,
menghakis label-label bongkak yang disusup puaka.
Kini para bangken sedang berlindung di sebaliknya,
Dengan media gergasi pertajam taring dustanya.
Cendekia muda kini tenaga tulus dan waja,
semakin cekal bangkit sebagai wewira perobah.
Mereka tentangi kuasa cemar berlendir dosa,
berazam melawannya demi mengharum satu era.
Pening gas dan pedih air mencemar dekad merdeka;
kuasa bobrok ghairah merongrong demokrasi luka.
Kita wajar mensyahdukan benih kuasa yang sakti,
dan dengan khusyuk mendeklamasi puisi berani.
Senja ini lara, dan kita tetap menyembuhnya.
Ya, kita dakapi demokrasi tulen seakrabnya.
A. Samad Said.
6 - 7 Ogos 2011
Puisi ini dideklamasikan sempena Majlis Pelancaran Kempen 'Jom Baca Media Alternatif' anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) pada 7 Ogos 2011.
0 comments